Salam sayang ya Amirul Mu’minin
Salam kasih untuk korang
Salam penantian buat zauji
Salam kemaafan wahai halwani
Salam rindu bertemu Illahi
Assalamualaikum
Dari ‘Aisyah RadhiyALLAHu Anha katanya:”Aku tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya aku kepada Khadijah. Sesungguhnya ROBB telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Ternyata keistimewaan Insan bernama Sayyiditina Khadijah Binti Khuwailid Bin Asad Bin Abdul Uzza Bin Qushai pada Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam tidak dapat dinafikan dan tiada bandingan.
Apakah rahsianya?
Rahsianya mudah, latihlah diri (suami) mengikut akhlak Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Kita inginkan isteri yang semulia Sayyiditina Khadijah Al Kubra, namun kita tidak cuba mengikut jejak mulia Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam.
Sebaik-baik pasangan adalah pasangan yang tidak meletakkan salah pada pasangannya, sebaliknya berusaha membaiki dan memperindahkan hubungan dalam apa jua keadaan.
Pernah ditanya kepada sang faqir dalam beberapa forum, jika kahwin, kemudian bercerai, kemudian kahwin lagi, cerai lagi, adakah itu dimaksudkan Jodoh yang salah atau tersalah pilih jodoh?
Jawab sang faqir, jika kita mencari salah, kita hanya akan bertemu yang salah. Tiada istilah jodoh yang salah atau tersalah pilih jodoh. Yang berlaku, adalah tersilap menjaga atau menguruskan jodoh. Kerana hakikat jodoh adalah rahsia ALLAH Jalla Waala yang berada dalam rahsia Qada' dan Qadar ALLAH Jalla Waala, begitu juga dengan Pertemuan, tanpa pertemuan, bagaimana mungkin ada jodoh. Yang perlu dijaga sebelum halal, adalah menjaga pertemuan. Yang perlu dijaga selepas dihalalkan hubungan, adalah menjaga jodoh.
Apakah rahsia dalam menjaga dan menguruskan Pertemuan?
Jawapannya SYARIAT dan AKHLAK
Apakah rahsia dalam menjaga dan menguruskan Jodoh?
Jawapannya SYARIAT, AKHLAK, SABAR dan TENANG.
Para suami sabar dengan 'thundercat' dari isteri, para isteri sabar dengan sikap 'incredible hulk' suami.
Para suami rajinkan diri menguruskan hal-hal rumah, kerana sifat Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam apabila berada di rumah, isteri akan dilayan seumpama permaisuri. Biasakan diri mengucup dahi isteri sebelum melelapkan mata untuk tidur malam, ucapkan kata-kata indah ke telinga mereka (para isteri), kerana mereka tidak minta gaji berjuta untuk pengorbanan mereka, yang mereka perlukan adalah penghargaan, belaian dan sentuhan kasih sayang suami walaupun sekadar sesaat.
Para isteri lazimkan diri memicit atau mengurut kaki suami, kerana beban badan dan otak yang letih ditanggung oleh dua kaki, maka cukup dengan memicit kaki suami, kalian (para isteri) sudah melayan suami kalian seperti raja, dan suami akan merasa indah seperti di dalam syurga. Yakinlah kalian (para isteri) akan menjadi ketua bidadari kepada suami di dalam syurga kelak. Rajinkan diri memohon maaf pada suami walaupun tiada kesalahan sebelum melelapkan mata tidur malam.
Inilah antara tips rumahtangga yang indah lagi bahagia menurut acuan Islam.
InsyaALLAH, semoga ALLAH permudahkan urusan rumahtangga sekalian sahabat.
By: Ustaz Wan Asrul Al-Aydrus
No comments:
Post a Comment